Nabi Yusuf adalah putera ke tujuh daripada dua belas putera-puteri Nabi Ya'kub. Baginda dikurniakan Allah rupa yang bagus, paras tampan dan tubuh yang tegap. Nabi Yusuf merupakan anak kesayangan Nabi Ya'kub menyebabkan saudara-saudaranya yang lain berasa iri hati.
Suatu hari, Nabi Yusuf melihat dalam mimpinya seakan-akan sebelas bintang, matahari dan bulan yang berada di langit turun dan sujud di depannya. Nabi Yusuf menceritakan mimpi itu kepada Nabi Ya'kub. Nabi Ya'kub melarang Nabi Yusuf menceritakan mimpi tersebut kepada saudaranya yang lain kerana bimbang mereka akan berniat jahat.
Akibat iri hati, saudara Nabi Yusuf merancang untuk meninggalkan Nabi Yusuf dalam telaga. Perancangan mereka berjaya. Yusuf yang ditinggalkan dalam telaga ditemui oleh kafilah yang kemudiannya bertindak menjual Nabi Yusuf. Nabi Yusuf dibeli oleh al-Aziz, seorang bangsawan Mesir yang sangat menyayanginya.
Zulaikha, isteri kepada al-Aziz jatuh cinta kepada baginda menyebabkan dia cuba mengajak Nabi Yusuf berbuat maksiat, namun Nabi Yusuf menolak. Perbuatan Zulaikha diketahui ramai dan mereka mengejinya.
Kerana malu, Zulaikha mengajak ramai wanita dan memberikan setiap wanita itu pisau dan buah untuk dikupas. Setelah melihat Yusuf, wanita-wanita itu terpesona lalu terhiris jari mereka sendiri. Kisah ini tersebar kepada menteri-menteri dan Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara walaupun baginda tidak bersalah.
Bagi Nabi Yusuf, penjara adalah suatu tempat yang damai di mana di dalamnya ia mampu menenangkan dirinya dan beribadat kepada Allah s.w.t. Di dalam penjara, Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi dua orang tahanan dan menjadi nyata. Salah seorang dari mereka dimaafkan dan kembali bekerja untuk raja.
Pada suatu hari, raja bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir gandum hijau disamping tujuh butir yang lain kering. Tiada seorang di kalangan rakyatnya yang tahu maksud akan mimpi raja itu. Orang yang dikeluarkan dari penjara itu memaklumkan kepada raja bahawa Nabi Yusuf pandai mentafsir mimpi.
Yusuf menjelaskan kepada utusan raja bahawa negeri Mesir akan mengalami masa-masa yang subur selama tujuh tahun di mana saat itu tanaman-tanaman akan tumbuh segar. Orang-orang Mesir hendaklah memanfaatkan musim subur ini kerana setelah itu akan disusul dengan tujuh tahun musim kemarau dan tanaman-tanaman tidak menjadi. Kecerdasan Nabi Yusuf menyebabkan baginda dilantik sebagai wakil raja
Tafsiran mimpi Nabi Yusuf pun menjadi kenyataan. Kerana kemarau panjang, ramai rakyat yang mengunjungi istana Mesir untuk mendapatkan makanan antaranya ialah saudara Nabi Yusuf yang membuang baginda ke telaga. Dengan kebijaksanaan Nabi Yusuf, mereka sekeluarga bertemu kembali.
